Mengikut cerita yang saya kutip dari HMI lagi, maka lahirlah dari perkahwinan Raja Mahmud dengan Seri Dewi itu Raja Muhammad yang kita kenali sebagai Baginda Demu di Hulu Pahang. Kononnya setelah ditilik oleh Nujum Diraja, didapati putera yang baru lahir ini amat sesuai dirajakan di luar Perak, tapi di negeri Perak adalah sebaliknya. Dikisahkan juga Nujum Diraja mempersembah khabar kepada Raja Mahmud bahawa Seri Dewi itu anaknya Halimah dan Halimah itu waris terdekat Laksamana Hang Jebat yang menderhaka. Maka tidak molek titisan zuriat Sang Durhaka menduduki takhta Perak.
Setelah mendengar ramalan dari Nujum Diraja tadi amat bencilah Raja Mahmud kepada anak yang baru dilahirkan tadi. Anak itu disuruh bunuh dan diserahkan urusannya kepada Bendahara. Akan tetapi Bendahara tidak berbuat begitu tetapi menghantarnya jauh dari istana.
Apa yang dikisahkan di atas mungkin hanya dituturkan di Hulu Pahang sahaja, tidak di seberang sana Banjaran Titiwangsa? Ia merupakan salah satu dari cebisan-cebisan cerita yang diselubungi kesamaran. Setakat penerokaan saya di alam siber kini, belum terjumpa kisah persis seperti yang dikisahkan di atas ditulis oleh sebarang pihak di seberang sana. Saya akan cuba mencari di mana ia dapat dilihat dengan pandangan yang lebih jelas, mungkin dalam konteks sejarah yang melingkunginya. Bagi saya kita harus bersifat terbuka kepada sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran kita.
Ia turut memberi satu lagi petunjuk yang menarik, nama Hang Jebat turut dikaitkan dengan peristiwa di atas dan dijadikan penyebab pula. Manakah yang benar, Halimah itu anak Laksamana Hang Tuah atau waris terdekat Laksamana Hang Jebat yang menderhaka?
Atas urusan apakah beliau berada Perak? Adakah sumber yang menyebut fasal beliau turut sama menyebut nama Laksamana Hang Tuah atau setiap satu dari sumber yang berlainan? Ada sebabnya saya bertanya begitu. Bukankah beliau juga dikatakan sudah mati dibunuh Laksamana Hang Tuah? Apakah hubungan negeri Perak dengan Melaka ketika itu?
|
Gambaran Istana Melaka |
Namun apabila meneliti kisah ini, terbayang peristiwa yang hampir sama berlaku di Istana Melaka dimana Laksamana Hang Tuah yang dijatuhi hukum bunuh diselamatkan Bendahara dengan menyembunyikannya jauh dari istana.
Timbul lagi persoalan di sini, sanggupkah seorang bapa melihat anaknya yang tidak berdosa dibunuh? Bukankah dia tahu anaknya ini bakal mewarisi takhta setelah kemangkatan beliau? Sayugia diingatkan bahawa ketika itu sistem penggiliran pelantikan sultan berdasarkan hirarki belum diamalkan seperti sekarang ini. Oleh yang demikian, putera beliau yang baru lahir ini sebenarnya suatu 'aset' yang amat bernilai tinggi dan perlu dipertahankan
at all cost, dengan izin. Bukan dilupuskan atau dilenyapkan dari sejarah. Baginda bakal raja.
Ketika itu belum wujud jawatan Raja Muda, Raja Dihilir dan sebagainya. Ia dikatakan timbul hanya lebih kurang 300 tahun yang lampau, kira-kira di pertengahan abad ke-18 atas cadangan seorang pembesar dan bangsawan berketurunan Bugis yang berjasa di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III (1728 - 1752) dikenali sebagai Daeng Senili. Beliau telah dilantik sebagai Mufti Perak yang pertama. Dari zuriat beliau jugalah datangnya keturunan bergelar Datuk Maharaja Lela.
Saya merasa seperti ada satu muslihat atau permainan silap mata di antara Raja Mahmud dengan hanya beberapa orang pembesar istana yang boleh dipercayai bagi mengabui mata pihak-pihak tertentu. Ia mungkin terpaksa dilakukan bagi menghindar Sang Putera dari malapetaka yang dijangka menimpa. Dari manakah agaknya ancaman itu, adakah dari Acheh yang jadi penguasa, atau dari pihak yang masih belum diketahui?
Sejarah pernah mencatatkan di zaman Sultan Mukaddam Shah, yaitu kekanda kandung Raja Mahmud, berlaku lagi siri penawanan keluarga diraja oleh Kerajaan Acheh dimana Raja Mahmud turut dibawa bersama. Mungkin ini menjadi punca anak itu telah diseludupkan ke suatu tempat yang sukar dikesani, Allahu a'lam.
|
Gambaran Singgahsana Sultan Melaka - Google Image |
Saya juga berasa hal yang serupa berlaku terhadap Sultan Mahmud Shah dari Melaka ketika menerima sembah fitnah dari pembesar-pembesar yang khianat, yang sedang menanti masa untuk menghapuskan kekuasaan Kesultanan Melayu Melaka. Muslihat itu pasti dapat dihidu kerna setiap mangsa yang terlibat sebenar-benar saling mengenali antara sama lain sedari kecil dan mempunyai ikatan hati dan tali kekeluargaan yang tidak pernah terduga oleh perancang konspirasi. Sebenarnya mereka berada di luar lingkungan budaya untuk memahami dan mengenali hati budi Melayu yang mulia.
Telahan saya, Sultan Melaka, Sang Bendahara dan Sang Laksamana telah bermain sandiwara di hadapan rakyat jelata untuk mengabui mata pembesar-pembesar durjana. Cara mereka 'menghidupkan' semula Laksamana Hang Tuah dari 'kematian' amat menarik sekali, sehinggakan pihak-pihak pengkhianat berasa lega sementara kerna Laksamana Hang Tuah satu-satunya hulubalang yang dirasakan mampu menewaskan Hang Jebat yang ketika itu memiliki Tamingsari serta sedang menguasai istana raja. Benarkah Jebat derhaka atau sedang melaksanakan amanah melindungi raja dari komplot pembesar istana ketika Abang Tuah tiada di mata?
Diriwayatkan dalam kitab
Sejarah Melayu atau dikenali juga sebagai
Sulalatus Salatin, susunan
Tun Seri Lanang, Bendahara Kerajaan Johor Lama kira-kira satu abad setelah kejatuhan Kota Melaka, bahawa bukan Hang Jebat yang membuat angkara di istana tetapi Hang Kasturi. Apakah ini sebenarnya yang disaksikan beliau atau sekadar apa yang dilisankan kepada beliau, atau pun apa yang beliau fikirkan sepatutnya berlaku, atau...lebih dari itu? Ia saling bercanggah dan percanggahan ini melibatkan watak atau pelaku utama dalam peristiwa yang paling utama juga.
Menurut
Hikayat Hang Tuah pula yang dipercayai mula ditulis kira-kira se abad selepas kitab Sejarah Melayu, oleh penulis yang tidak dikenali hingga kini, bukan Hang Kasturi yang bertikam dengan Abang Tuah tetapi Hang Jebat. Ini bermakna kisah ini mempunyai pelbagai versi, termasuk versi-versi lain yang tidak terkira banyaknya, khabarnya ada 29 versi semuanya atau 32. Saya sedang menduga-duga, versi yang manakah yang diambil Sang Nujum Diraja. Yang disepakati semua adalah, memang benar peristiwa pertikaman itu benar-benar berlaku, Allahu a'lam.
Bagaimana pula dengan versi dari waris keturunan Laksamana Hang Tuah, Hang Jebat, atau Sultan Mahmud sendiri, sekiranya ada? Adakah sama jalan ceritanya? Saya turut percaya terdapat lagi cebisan-cebisan kisah tentang mereka yang diperturunkan oleh saksi-saksi kejadian yang benar-benar berada di waktu kejadian kepada anak cucu mereka.
Tidak terkecuali juga pihak-pihak yang ingin menumpang kemasyhuran Laksamana Hang Tuah dan turut memadankan dan menampal kisahnya ke dalam sejarah keturunan mereka. Yang pasti, ia akan mudah dikesani di mana sumbangnya, tidak seperti kisah yang autentik dari waris keluarga sebenar, yang kelihatan masih tetap membisu, menanggung keperitan fitnah terhadap leluhur mereka berabad lama.
Apa jua peristiwa yang berlaku dalam sejarah tidak boleh diterima bulat-bulat. Orang selalu berkata "Sejarah ditulis oleh pihak yang menang". Setiap peristiwa yang dirakam perlu juga dianalisa, samaada kena tak kenanya dengan akal yang rasional. Secara peribadi saya tidak percaya yang Hang Jebat mati dibunuh oleh Laksamana Hang Tuah, juga tentang 'kezaliman' Sultan Mahmud yang dengan mudah dipengaruhi pembesar-pembesar istana, seperti mana yang dihidangkan oleh Tun Seri Lanang, secara sedar atau tidak sedar dalam kitab Sejarah Melayu kepada kita. Perkara sebegitu tidak mungkin berlaku pada orang yang berakal.
|
Gambaran pertikaman - Google Image |
Amat sukar saya menerima akan kemungkinan persahabatan yang begitu lama terjalin serta mendalam boleh dilupakan begitu sahaja hingga sanggup membunuh seorang sahabat setia sehidup semati demi sebuah kesetiaan terhadap seseorang yang sebelum itu telah menjatuhi hukuman bunuh terhadapnya, kecuali seseorang itu sememangnya buta hati, tidak mengenal erti persahabatan dan mengejar sesuatu maksud atau dendam berabad lama. Atau ia sebenarnya cerminan watak pihak yang menuturkannya.
Atau bagaimana mungkin seorang raja yang memerintah sebuah empayar besar, berserta hikmah dan kebijaksanaan yang diwarisi dari para leluhurnya sejak purba kala, sehingga dapat ditakluki segenap ceruk nusa dan antara, dengan mudah terpedaya atau terpancing dengan muslihat musuh terhadap dua sahabat sepermainannya sedari kecil, malah mempunyai hubungan kekeluargaan, kecuali kebesaran dan kemuliaan baginda bukan sepertimana yang fahami dan diceriterakan oleh pengarangnya.
Hanya seorang panglima atau laksamana yang arif sahaja memiliki gerak rasa, samaada mahu menyerang atau berundur atau di antaranya. Hanya seorang raja yang adil lagi bijaksana dapat menilai setiap denyut nadi pemerintahannya. Namun diakui kemampuan manusia ada batasnya, sekira takdirNya telah menentukan begitu, maka begitulah. Apa yang dihadapi baginda sudah berpusat di istana sekian lama. Kisah itu serta peristiwa sekitar 'pertikaman' antara Sang Laksamana dengan sahabat setianya akan diperikan di lain ketika. Juga nasib mereka setelah itu menyusul juga.
|
Gambar Hiasan - Istana Kenangan, Kuala Kangsar, telah diubahsuai menjadi Muzium Diraja Perak |
Berbalik kepada peristiwa sedih di 'Istana Perak', atas premis di situ terjadinya, bagi saya dalam melihat akan hal yang sedemikian 'ganjilnya', beberapa perkiraan perlu diambil kira. Apakah peristiwa yang melatarinya, sebelum, semasa, dan selepasnya. Siapakah sebenarnya watak-watak yang sedia ada serta hubungkaitnya. Perlu dilihat motif serta kepentingan-kepentingan yang biasanya sering terselindung atau tidak nyata.
Apa yang tersurat tidak semestinya apa yang sebenarnya berlaku. Kata kunci atau terma forensik dari bahasa Latin, "cui bono" atau "siapa yang beroleh sesuatu" boleh digunakan dalam mencari petunjuk kepada sesuatu dengan melihat siapa atau pihak mana yang mempunyai motif terhadap sesuatu kejadian dan beroleh laba darinya.
Sebagaimana berbagai 'keganjilan' atau kekaburan yang terdapat dalam kitab Sejarah Melayu, begitu juga yang kita temui dalam sejarah yang melibatkan Kesultanan Perak suatu ketika dahulu. Memang sifatnya Melayu tidak gemar membuka teromba kisah-kisah lama yang menjelikkan atau menyayatkan. Kita akan cuba menyuluhi sedikit apa yang terselindung di sebalik peristiwa sedih di istana Perak.
Umum mengetahui bahawa Perak berada di bawah naungan Acheh sejak zaman pemerintahan Sultan Perak Ke-2, yaitu Sultan Mansur Shah I. Acheh pada waktu itu bangkit sebagai salah satu kuasa besar yang berpengaruh dan disegani semasa ketiadaan Melaka di pentas Nusantara. Ia memimpin serangan-serangan ke atas kedudukan Portugis bersama negeri-negeri Melayu lain.
Dari semasa ke semasa ia turut mempraktikkan kekuasaannya ke atas wilayah-wilayah yang ditaklukinya, termasuk Perak. Ia turut meletakkan wakilnya bagi mengawasi dan menasihati pentadbiran negeri-negeri di bawah takluknya. Ia juga berkuasa melantik, menurun takhta atau menghukum sebarang pelanggaran terhadap kepentingannya di negeri Perak.
|
Mungkin beginilah raut wajah
Yang Mulia Datok Bendahara Tun Perak |
Ini dapat dilihat melalui beberapa siri pencerobohan ke dalam negeri Perak serta peristiwa penawanan keluarga diraja Perak. Mungkinkah ini yang mendorong Raja Mahmud untuk 'melenyapkan' anaknya dari sejarah demi untuk menyelamatkan titisan zuriatnya dari sebarang angkara. Manakah tempat yang paling selamat selain di sebalik Banjaran Titiwangsa? Pastinya seorang Bendahara yang bijaksana tahu menguruskan masalah ini tanpa soal bicara.
Sekadar ini sahaja yang ingin saya kongsi di bahagian ini. Kita telah melihat betapa besarnya peranan seorang Bendahara yang setia lagi bijaksana dalam membuat pertimbangan. Beliaulah yang menjadi penasihat yang dipercayai oleh Sang Raja, mengimbas kembali persetiaan yang termeterai antara Demang Daun Lebar dengan Sang Sapurba. Dunia Melayu bertuah mempunyai seorang bendahara yang bijaksana lagi berjasa, seperti Bendahara Tun Perak. Kegemilangan Kesultanan Melaka sinonim dengan keberadaan Bendahara Tun Perak yang berjaya mengatasi pelbagai rintangan dalam melaksana apa yang diamanahkan kepadanya. Ironisnya halangan pertama beliau adalah dari Istana Melaka sendiri. Di situ bermulanya setiap angkara.
Jika Sang Bendahara berkhianat, termasuk pada dirinya, maka malapetaka akan menimpa.
|
Makam Bendahara Paduka Raja Tun Perak bin Bendahara Seriwa Raja Tun Perpatih Sedang
Bendahara Ke-5 Kesultanan Melayu Melaka dari 1456 - 1498 |