Puncak Banjaran Titiwangsa - Ihsan Khairul Amri Marhalim |
Menurut satu riwayat yang dikutip dari Saudara Hasanuddin Md Isa (HMI), anak kecil yang bernama Raja Muhammad tidak dibunuh seperti yang dititahkan, tetapi dibawa ke Hulu Pahang merentasi Banjaran Titiwangsa. Baginda diletakkan dibawah penjagaan keluarga Maharaja Perba Jelai yang mendiami Hulu Pahang.
Apabila telah besar, baginda telah dibawa balik ke Perak tetapi kehadiran baginda akhirnya telah diketahui ayahanda beliau. Maka terpaksalah Bendahara sekali lagi mengatur penghantaran semula ke Pahang dan kali ini melalui jalan laut mengelilingi semenanjung hingga ke Kuala Pahang.
Siapakah Bendahara yang baik hati itu? Menurut catatan dalam satu teromba di Hulu Pahang yang saya kutip dari HMI, beliau adalah suami kepada Masada (Mas Da) yaitu kakak sulung kepada Seri Dewi, ibunda Raja Muhammad atau Baginda Demu. Mereka mempunyai seorang anak perempuan dikenali sebagai Tok Temu dan dikahwinkan dengan Baginda Demu.
Ada berpendapat beliau adalah Tun Saban, seorang pembesar Perak yang telah menabalkan Sultan Muzaffar Shah I sebagai Sultan Perak yang pertama pada 1528. Tun Saban memerintah di Janin di Hulu Perak. Beliau dikatakan berasal dari Melaka dan ada perkaitan dengan Tun Perak, ada yang mengatakan beliau anak Tun Perak, anak saudara Tun Perak dan berbagai lagi.
Janin pula bukan di bawah takluk Kesultanan Melayu Melaka, seperti mana Manjung/Dinding dan Beruas. Penguasa dari ketiga-tiga wilayah inilah yang bersepakat untuk membawa seorang putera Sultan Mahmud Shah yang sedang berada di Kampar ketika itu untuk menjadi raja bagi negeri Perak.
Menurut sejarah, setelah Sultan Muzaffar Shah naik tahkta, beliau tidak melantik Tun Saban, yang telah berusaha membawa baginda dari Kampar ke Perak bersama pembesar-pembesar Perak yang lain untuk dirajakan. Sebaliknya beliau telah melantik Tun Mahmud, yang beliau temui apabila singgah di Kelang dalam perjalanan ke Perak. Kelang, seperti Manjung dan Beruas masih di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.
Apabila Tun Mahmud dipanggil balik oleh Sultan Alauddin Ri'ayat Shah II, adinda Sultan Muzaffar Shah I di Perak, yang memerintah Kerajaan Johor Lama, Megat Terawis pula dilantik sebagai Bendahara Perak setelah berjaya membunuh Tun Saban yang berselisih dengan Sultan Muzaffar Shah I. Keluarga Megat Terawis bersilih ganti menjadi Bendahara Perak selama beberapa generasi. Oleh yang demikian Tun Saban tidak pernah menjadi Bendahara Perak.
Berdasarkan dapatan yang diperolehi HMI, tarikh perjalanan Baginda Demu sewaktu dengan pemerintahan Raja Abdul Ghaffur yang sedang memerintah Johor dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah II dari tahun 1564 hingga 1579, oleh itu besar kemungkinan Bendahara Perak masih lagi Megat Terawis ketika itu. Mungkinkah Megat Terawis bendahara yang baik hati itu?
Kisah mengenai bendahara tersebut turut ditemui oleh HMI dalam dokumen lama di Jelai seperti berikut," MAKA BENDAHARA GARANG PUN HENDAK BERBALIK KE NEGERI PERAK. MAKA DITINGGALKAN BAGINDA DAMUN..?... ITU KEPADA MAHARAJA PERBA ORANGNYA DIITINGGALKAN...? OLEH.. BENDAHARA GARANG DUA BELAS KELAMIN AKAN MEMBELAKAN BAGINDA DAMUN ITU."
Amat menarik sekali petikan di atas sebab ia menyebut satu lagi nama yang amat dikenali dalam sejarah Perak, yaitu Bendahara Garang. Bendahara Garang tercatat dalam sejarah Perak sebagai bendahara yang berjaya menyelamatkan Puteri Limau Purut di zaman Sultan Mukaddam Shah, Sultan Perak Ke-6 (1603 - 1619).
Makam Puteri Limau Purut - Ihsan aisbatu.blogspot.com |
Ia terkait kemurkaan Sultan Acheh yang gagal mengahwini Puteri Limau Purut, puteri kepada Sultan Mukaddam Shah kerana telah dijodohkan dengan Sultan Mansur Shah II (1619 - 1627). Oleh itu Acheh telah menakluki Perak dan menawan Puteri Limau Purut, termasuk ayahanda serta tunangan baginda.
Versi lain yang saya kutip dari aisbatu.blogspot.com mengatakan Puteri Limau Purut telah mangkat sebab terluka di jari di suatu perkelahan dan ini dianggap satu helah oleh Acheh lalu telah menyerang Perak. Berikutan itu Sultan Mansur Shah II diturunkan takhta, Allahu a'lam.
Menurut sumber dari Megat Iskandar At-Terawis melalui orangduabelas.wordpress.com, nama sebenar beliau adalah Megat Abdullah, cucu kepada Megat Terawis, anak kepada Megat Biajid Mustafa yang dikenali sebagai Bendahara Muda Megat Sulung. Beliau menjawat jawatan bendahara di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah II dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Walau bagaimanapun beliau dikenali ramai sebagai Bendahara Garang.
Benarkah beliau pernah sampai ke Pahang seperti yang dipetik di atas? Jawapannya, benar, malah turut dicatatkan oleh Keturunan Megat Terawis sendiri. Di penghujung perkhidmatannya, beliau dikenang sebagai orang yang mengetuai rombongan perkahwinan di antara seorang puteri diraja Perak untuk mengahwini Raja Muda Pahang, yaitu Raja Abdullah, putera kepada Sultan Abdul Ghafur Muhaiyudin.
Menurut Maxwell yang beliau petik, semasa lawatan ke Pahang, beliau dikatakan turut mengahwini seorang gadis Pahang dan dari perkahwinan ini lahirlah seorang yang bernama Baginda Danum. Nama ini mengingatkan saya pada seseorang. Mungkinkah...?
Sumber tersebut juga turut mengatakan, berdasarkan salasilah Keturunan Maharaja Perba Jelai, salah seorang leluhur mereka yang bernama 'Bendahara Garang' bersusur galur dari kerabat Pagar Ruyung. Menurut sumber tersebut besar kemungkinan Bendahara Garang di Pahang juga adalah Bendahara Garang di Perak kerana datuk beliau, yaitu Megat Terawis sememangnya seorang putera dari Kerajaan Pagar Ruyung.
Sebenarnya leluhur keturunan Maharaja Perba Jelai sendiri juga berasal dari Pagar Ruyung yang datang berhijrah ke Hulu Pahang ketika Pahang masih di bawah kekuasaan Empayar Johor Riau lagi.
Mungkin juga bendahara yang dimaksudkan itu dari kerajaan Perak Tua yang saya masih samar-samar. Banyak yang belum kita ketahui dan perlukan kajian selanjutnya. Di bahagian seterusnya kita cuba meneroka ke mana agaknya Laksamana Hang Tuah 'menghilang'. Apakah kesudahan Hang Jebat?
siapa yang memberitahu tuan makam hang nadim....ingin saya ketemu dengan nya
BalasPadam