Saya mula menyedari akan hal yang demikian apabila bersua satu community page dengan nama Keturunan Tok Baginda Demu beberapa tahun yang lalu. Bagaimana boleh terlepas ke situ tidaklah saya ingat. Barangkali sedang menjejaki seekor pelanduk ketika itu, lantas terlihat satu link yang dikongsi seseorang mengenai satu nama yang pernah menimbulkan tanda tanya sekitar 1980an.
Nama Datok Baginda Demu memang bukan baru bagi saya. Saya pernah meneliti teromba yang disusun oleh Penghulu Mat Dahan dalam simpanan ayahanda saya. Cantik dan berseni tulisan jawi beliau. Saya tidak mempunyai masalah membaca huruf-huruf Arab atau tulisan jawi sebab sedari kecil telah membaca Utusan Melayu dan Utusan Zaman kerna ayahanda saya melanggan akhbar-akhbar tersebut. Hendak tak hendak kenalah merangkak-rangkak membacanya sehingga mahir. Ibu saya pula boleh mengajar anak cucunya mengaji Al Quran.
Dalam teromba tersebut tercatat nama Datok Baginda Demu di atas sekali serta kampung asalnya iaitu Asam Kumbang, kalau tidak silap. Turut tercatat ialah nama Tok Kaya Ibrahim di bahagian lain dengan setiap jurai keturunan yang sempat dicatat Penghulu Mat Dahan. Ayahanda saya menyambung tugas yang ditinggalkan dengan menambah nama yang belum tercatat, dengan tulisan jawi juga.
Malang sekali buku yang sangat bernilai tersebut sudah dipinjam seorang kenamaan, mantan pemimpin politik yang bertandang ke rumah sekitar musim kempen pilihanraya 1990. Kalau disebut namanya pasti setiap orang akan mengenalinya kecuali budak-budak kecil ketika itu.
Beliau berkereta jenis Jaguar berwarna oren kemerah-merahan dan dilihat menziarahi rumah sanak saudaranya di sekitar mukim Sega. Beliau dikatakan kerap menziarahi makam keramat Tok Mat Amin, Penghulu pertama Mukim Sega di Bukit Tersan.
Sememangnya ayahanda saya tertunggu-tunggu kembalinya buku teromba tersebut kerana ketika itu beliau sedang menyalin semula teromba tersebut ke dalam buku baru agar selamat dan dapat diisi dengan nama-nama baru. Apa yang kami ada hanya salinan yang belum lengkap malah masih bertulis dengan pensel.
Kebelakangan ini baru saya sedari bahawa teromba susunan Penghulu Mat Dahan ada disebut-sebut dan telah dirujuk oleh orang di sekurang-kurang dua tempat, di Tersan dan di Rumah Banjir Sega Lama. Samada ia buku yang hilang itu atau ada lagi salinan seumpamanya tidaklah saya pasti.
Berbalik kepada tajuk persoalan di atas, benarkah nama Laksamana Hang Tuah wujud dalam teromba tersebut? Jawabnya, tidak sama sekali, tidak pada teromba yang pernah saya lihat. Apa yang menjadi tanda tanya bagi saya ketika itu hanyalah tentang siapa sebenarnya tokoh-tokoh leluhur yang disebut tadi.
Cucu cicit piat puit Baginda Demu tersebar luas di daerah Lipis dan Raub. Hanya keluarga-keluarga yang tertentu di beberapa tempat yang tertentu sahaja yang ada menyimpan teromba salasilah serta catatan kisah-kisah yang berkaitan. Ia menimbulkan banyak tanda tanya dan telah mula bermain-main di pemikiran saya. Hal ini perlu disoroti sejauh mana kebenarannya, mungkin tersirat sesuatu disebaliknya.
Setelah meneliti susunan salasilah dari page Sejarah Keturunan Tok Baginda Demu, saya dibawa arus melayari blog PIATHANGTUAH milik Saudara Hasanuddin bin Md Isa. Memang banyak maklumat yang beliau kumpulkan yang saya rasa bangga dengan usaha beliau.
Bagi sesiapa yang turut berminat menyingkap sejarah asal usul keturunan yang mendiami Hulu Pahang ini, beliau merupakan antara nama yang terkedepan dalam rujukan, selain beberapa sumber dalam lingkungan beliau. Demikianlah bagaimana saya 'terseret' dan obses dengan persolan ini. Bahagian seterus akan menyusul, insyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan