Sabtu, 25 Mac 2017

Laksamana Hang Tuah Dalam Teromba Bahagian III

Berat juga rasanya hendak memulakan Bahagian ke III ini.  Terlalu banyak maklumat perlu ditapis, dimurnikan semampu yang boleh kemudian dihadamkan, itu pun entah betul entah tidak. Pertama-tama untuk pemahaman saya sendiri agar tidak bercelaru dan terkeliru. Kalau diri sendiri bercelaru, mentelah lagi pembacanya. Oleh yang demikian elok juga kita buka sedikit-sedikit dan hadamkan dulu satu persatu.

     Saya sendiri bukan ahli dan terlatih dalam metodologi kajian, hanya berpandukan apa yang telah ditulis, terutama oleh Saudara Hasanuddin Md Isa (HMI), dalam blognya piathangtuah.blogspot.com, serta sumber-sumber rujukan silang yang terdapat di maya yang sempat saya kutip. Antaranya indahrasajmalim.blogspot.com yang padat dengan kisah ziarah makamnya serta beberapa yang lain yang sememangnya anak jati Perak. Apa yang ditemui dan difahami, itulah yang saya masukkan, berupa cebisan-cebisan cerita yang perlu disusun atur mengikut tertib oleh  pengkaji-pengkaji yang teliti. Saya bukanlah orangnya.

     Apakah hikmahnya nama Laksamana Hang Tuah disebut dalam sebahagian teromba seperti yang dikutip HMI. Saya ada satu telahan awal tapi belum bersedia untuk berkongsi dengan orang lain. Bagi saya lebih baik kita cuba mengenali watak-watak yang sedia tercatat dan cuba melihat perkaitan antara mereka serta peristiwa-peristiwa yang menandainya.

     Baik, saya ingin memulakan dengan ayahanda kepada Baginda Demu, yang dicatat sebagai Raja Mahmud. Menurut catatan HMI, beliau juga dikenali sebagai Raja Yusuf dan Raja Bongsu. Menarik sekali maklumat ini kerana memang benar wujud nama ini dalam salasilah Kesultanan Perak. Jika maklumat ini benar dan merujuk pada batang tubuh yang sama, kita sekarang berbicara mengenai Raja Yusuf yang memakai gelaran Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak ke-8 (1627 -1630). Beliau juga adik kepada Sultan Mukaddam Shah, Sultan Perak Ke-6 (1603 - 1619) yang bersemayam di Bota Kanan.


Sungai Perak dari arah makam - Ihsan indahrasajmalim.blogspot.com

     
     Namun begitu, menurut sumber yang saya kutip dari HMI, berdasarkan Teromba Salasilah keluarga Baginda Demu yang disimpan keturunan baginda di Penjom, Sega dan Budu menyepakati tarikh 1540M sebagai tarikh Muhammad Ali Jaafar bin Baginda Demu sudah berada di Lipis. Ini bermakna sudah ada petempatan dibuka di muara Sungai Lipis pada tarikh tersebut, di kala Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak Ke-I masih berada di takhta pemerintahan (1528 - 1549). 

     Terdapat perbezaan garis masa yang amat ketara di antara keberadaan Baginda Demu dengan keberadaan tokoh-tokoh yang disebutkan tadi.  Mungkin beberapa fakta berikut boleh dijadikan asas pertimbangan.


Makam Sultan Muzaffar I
- Ihsan insahrasajmalim.blogspot.com
      Sultan Muzaffar Shah I dikatakan lahir pada 1505. Ini bermakna beliau berumur dalam lingkungan 23 tahun ketika ditabal menjadi Sultan di negeri Perak. Turut bersama dalam rombongan mengiringi beliau adalah anakanda sulung beliau sendiri, yaitu Sultan Mansur Shah I yang mungkin masih kanak-kanak. 
   
     Mengikut satu sumber, Sultan Mansur Shah I ini dilahirkan di Bentan, sebelum ibukota Bentan dimusnahkan oleh Portugis pada tahun 1526 sehingga ia membawa kepada Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Kampar. Sesiapa yang lebih arif mungkin dapat menetapkan tahun kelahiran Sultan Mansur Shah. Saya sekadar menganggarkan umur beliau kira-kira 3 hinga 5 tahun pada tahun 1528 sewaktu ayahanda baginda ditabal. Oleh yang demikian umur beliau pada 1540 baru kira-kira 15 hingga 17 tahun. 

     Oleh yang demikian, Raja Mahmud yang tercatat dalam teromba orang-orang di Hulu Pahang itu berkemungkinan orang lain yang hidup lebih awal lagi dan berketurunan dari pemerintah sebelum kedatangan waris Kesultanan Melayu Melaka dari Kampar.

     Walau bagaimanapun kisah Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak Ke-8 ini amat menarik untuk dikongsi kerana ia seiring dengan asal-usul Keturunan Baginda Demu sendiri, hanya pentarikhannya sahaja kelihatan tidak cocok dan perlu kajian lebih terperinci. Mungkin ia dapat merungkaikan beberapa 'misteri'...

Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam - Google
     Mengikut sejarah,  Raja Yusuf telah ditawan oleh Acheh semasa Acheh datang menyerang dan mengalahkan Perak di zaman pemerintahan Sultan Mukaddam Shah pada tahun 1619.  Raja Yusuf tinggal di Acheh hingga tahun 1627 apabila baginda kembali bersama orang-orang Acheh untuk menggantikan tempat Sultan Mansur Shah II, Sultan Perak Ke-7 (1619 - 1627) yang telah mangkat. Tetapi versi dari Acheh menyatakan bahawa baginda telah diturunkan takhta oleh Kerajaan Acheh. Ada cerita menarik disebaliknya, yang pasti Kerajaan Perak di kala itu dibayangi kuasa Acheh di zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memerintah Acheh. 

     Setelah ditabal menjadi sultan, baginda diberi gelaran Sultan Mahmud Shah.  Baginda ditabal dalam tahun 1627 dan bersemayam di Geronggong (sekarang Kampung Jawa, Mukim Pulau Tiga, Daerah Perak Tengah).

 
Makam Sultan Mahmud
     Setelah memerintah lebih kurang tiga tahun, pada 1630 baginda mangkat di Geronggong dan dimakamkan di suatu tempat yang bernama Tok Melor ( ke ulu sedikit daripada makam yang ada sekarang ini ). Makam ini kemudiannya dipindahkan ke Kampung Pulau Tiga di Pemakaman Almarhum Sultan Muhammad Shah, Sultan Perak Ke-14. Almarhum Sultan Mahmud digelar "Marhum Pulau Tiga".   

     Timbul satu tanda tanya, mungkin juga dari para pembaca yang budiman, mengapa tidak dikekalkan dengan nama asal, yaitu Raja Yusuf?  Mengapa memakai nama Sultan Mahmud Shah?  Bagi saya ia bagi menghidupkan legasi Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir dari Kesultanan Melayu Melaka, yang menyambung legasi Empayar Sriwijaya yang masyhur itu.

     Sejarah telah mencatatkan bahawa kuasa Kesultanan Acheh terhadap Kesultanan Perak sangat kuat, sejak dari zaman pemerintahan Sultan Perak Ke-2 lagi, iaitu Sultan Mansur Shah 1 Ibni Sultan Muzaffar Shah I. Merekalah yang melantik atau menurunkan takhta mana-mana sultan di Perak pada ketika itu. Acheh juga dapat dianggap sebagai pelindung kepada waris keturunan Kesultanan Melayu Melaka dari buruan Portugis.
     
Ihsan harutmarut.blogspot.com

     Kerajaan Acheh terdahulu daripada itu telah menawan Sultan Mansur Shah 1, Sultan Perak Ke-2, serta putera sulung baginda, Raja Alauddin dan dinikahkan dengan puteri Acheh, Raja Puteri, dan kemudian diangkat menjadi Sultan Acheh. Sultan Mansur dihantar semula menduduki takhta Perak.  Terdapat versi menyatakan hanya Raja Alauddin sahaja yang dibawa ke Acheh.

     Setelah mangkat Sultan Mahmud Shah diganti oleh puteranya, Raja Kobat dengan gelaran Sultan Sallehuddin Shah sebagai Sultan Perak Ke-9 (1630 -1635) .  Menurut catatan yang ditemui dalam www.royalark.net, baginda merupakan satu-satunya 'known son' atau 'anak yang diketahui' dari Sultan Mahmud Shah. Tuan-tuan tekalah sendiri apa artinya disebalik pernyataan sebegini. 

     Tidak banyak yang ditulis tentang  baginda. Baginda dikatakan mangkat dan dimakamkan di Kampar, manakala ada yang mengatakan di Acheh. Ahli-ahli sejarah berpendapat, Sultan Salehuddin Shah merupakan sultan Perak terakhir dari titisan darah Sultan Muzaffar Shah I dari sebelah pihak lelaki kerana baginda tidak meninggalkan zuriat.  

     Sultan Perak Ke-10, yaitu Sultan Muzaffar Shah II walaupun nasab keturunannya dari Siak Lama, tetap mewarisi benih keturunan Melaka dari sebelah perempuan. Malahan sampai juga ke Sang Sapurba yang menurunkan keturunan raja-raja Sriwijaya dan Melaka.

     Kemanakah perginya zuriat raja-raja Melaka?  Mungkinkah ia berada di Hulu Pahang? Di bahagian seterusnya kita akan bercerita lagi tentang Raja Mahmud@Raja Yusuf@Raja Bongsu dan jika berkesempatan cuba pula meninjau-ninjau siapa gerangan Bendahara yang baik hati itu, Allahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan