Ahad, 19 Mac 2017

Masjid Lama Kampong Sega Tat

Bangunan asal Masjid Jamek Sega Tat di tapak masjid sekarang sebelum dirobohkan dan dibina baru

Masjid yang dimaksudkan seperti imej yang tertera di atas tidak mungkin ditemukan lagi. Ia diambil sejurus berita perobohan masjid diketahui. Imej asalnya berwarna dan diambil menggunakan kamera filem, tidak seperti di masa kini yang serba digital. Ia ditukar ke dalam imej hitam putih untuk nampak vintage.

     Sebenarnya terdapat sebatang tiang kabel konkrit yang tinggi di sebelah kiri lorong persimpangan masuk ke pekarangan masjid, serta kabel-kabel letrik dan seumpamanyanya bergantungan di sebelah atas gambar. Dari sudut fotografi objek-objek tersebut telah 'mencacat' pemandangan dan telah 'ditiadakan' menggunakan kepakaran digital editing masa kini.

     Bangunan di atas bukanlah tapak asal masjid bagi qariah Sega Tat. Tapak asal sebenarrnya di tepi Alor Tat, kalau tidak silap namanya, sebelah hilir rumah Pakcik Yin (Abdul Rahim bin Omar Baki, Siak Masjid), bertentangan rumah De Mokhtar, bekas imam Sega Tat dan bertentangan juga dengan rumah klinik lama. Seberang sana tapak masjid adalah rumah Aki Akob, ayah pada John Bahari (nama sebenarnya dah lupa).

     Di belakang tapak masjid terdapat beberapa batang pokok kundang yang tinggi-tinggi. Masa kecil-kecil dahulu bila tiba musim kundang, selalulah komeh menggundal buah kundang dengan puntung kayu. Siapa yang handal bolehlah memanjatnya. Waktu itu rasanya masih kelihatan lantai konkrit, tiang dan kemungkinan bumbung pada rangka masjid itu, maklumlah komeh masih bebudak, tidak berapa pelica. dan kini bertambah kurang jelas. Apa yang pasti tumbuhan liar menguasai rangkanya seperti lazimnya bagi bangunan yang ditinggalkan.

     Setelah meningkat matang sedikit pernah juga terdengar kekesalan dari beberapa pihak perihal tapak masjid lama yang sudah tidak dipedulikan oleh pimpinan kampung. Rasanya ia disuarakan oleh De Mokhtar sendiri, selaku Imam Qariah waktu itu. Namun tiada usaha hendak menyambut suaranya dikalangan ahli qariahnya, Allahu a'lam.

     Mungkin keadaan semasa di waktu itu mengkehendaki dibina satu masjid baru yang lebih besar, mentelah lagi negara baru mencapai kemerdekaan, maka dibinalah masjid baru sebagai salah satu projek pembangunan luar bandar yang diterajui Almarhum Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri pada waktu, dan mungkin juga merangkap Menteri Luar Bandar. Jika silap mohon perbetulkan, kerana beliau sinonim dengan projek-projek luar bandar.


Allahyarham Tuan Haji Abdul Rahim bin Zakaria

     Lalu dibinalah masjid itu atas satu bidang tanah yang diwakafkan oleh Allahyarham Tuan Haji Abdul Rahim bin Zakaria, semoga dibalas Allah jua pengorbanannya. Imej di atas mungkin gambaran yang terakhir sebelum ia dirobohkan. Sesiapa yang masih menyimpan gambar-gambar yang lebih lama mengenainya, simpanlah ia baik-baik. Mungkin ada anak cucu yang berminat mengumpulkannya sebagai artifak yang bernilai tinggi bagi anak cucu kita.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan