Selasa, 21 Mac 2017

Rentetan Peristiwa Pembukaan Kampung Sega Sehingga Kini


Cerita ini saya kutip dari blog piathangtuah.blogspot.my milik Saudara Hasanuddin Md Isa. Menurut beliau, Sega adalah salah sebuah kampung yang dibuka oleh keturunan Datok Baginda Demu, seorang pembesar dari Perak. Terdahulu daripada itu telah dibuka Kampung Pagar, Kampung Budu, Kampung Tersan,  dan sebagainya.

      Nama sebenar beliau ialah Raja Muhammad, dipercayai cucu Laksamana Hang Tuah dengan seorang gadis istana Perak bernama Halimah.  Ayahanda Baginda Demu ialah Raja Mahmud@Raja Yusof@Raja Bongsu yang berkahwin dengan salah seorang anak Laksamana Hang Tuah dengan Halimah bernama Seri Dewi. Beliau dikatakan datang berhijrah ke Hulu Pahang membuka petempatan pertama di Lubok Yong, Kuala Lipis, kemudian mudik ke hulu dan membuka Kg. Pagar, Penjom, Kuala Lipis pula.


Sungai Lipis - Ihsan kualalipisdailyphoto.blogspot.my

        Apabila keturunan beliau beranak-pinak, maka bertambahlah ahli keluarga dan oleh yang demikian terbit keperluan untuk mencari tanah baru untuk didiami. Tanah-tanah di kiri kanan tebing Sungal Lipis sebenarnya telah dihuni oleh keluarga Hang Semaun, bapa saudara beliau yang telah berkampung lebih awal lagi. Hang Semaun mula berkampung di Lubok Lela, Benta dan turut membuka kampung-kampung lain di sekitarnya seiring dengan pertambahan ahli keluarganya. Beliau telah dilantik pemerintah Pahang sebagai Orang Kaya Lipis yang pertama. 
 
Kampung Budu - Ihsan rachap.blogspot.com

   
     Turut mendiami Lembangan Lipis adalah keluarga Tok Kaya Ibrahim, titisan Melaka dari Tun Ibrahim yang bersusur galur dari Tun Mutahir, Bendahara Paduka Kesultanan Melayu Melaka serta keturunan Tun Abdul Samad. Bersemendalah keturunan tersebut tadi melalui ikatan perkahwinan sehingga berkembang biak. Mereka telah membentuk satu keluarga besar dan memainkan peranan penting dalam sejarah Hulu Pahang bersama-sama Keturunan Maharaja Perba Jelai yang memerintah Lembangan Sungai Jelai.

Masjid Lama Tersan - Ihsan titikbukannoktah.blogspot.my

     Dipendekkan cerita maka diteroka lagi tanah-tanah subur di hulu Sungai Lipis sehingga terwujudlah Kampung Sega hingga ke Batu Talam. Nama-nama seperti Tok Chandak, Tok De Abdul Rahman dan Tok Mansur Bugis adalah antara nama-nama besar di waktu itu. Tiadalah orang lain di situ melainkan ada perkaitan belaka.
   
     Setiap kampung yang dibuka berkembang dengan nama-nama tertentu. Kampung-kampung yang banyak itu  dibawah pentadbiran seorang Penghulu Mukim. Penghulu Mukim Sega yang pertama ialah Tok Mat Amin bin Tok Malik, dilantik pada tahun 1680. Tidak dapat dibayangkan, amat meriah sekali rasa saya suasana kampung-kampung yang terdapat di mukim Sega di tahun-tahun 60an membawa ke 70an. Segala ceruk rantau bukannya orang lain, boleh singgah makan bagai...
   
     Kampung Sega mendapat nama dari rotan Sega yang banyak ditemui semasa usaha membuka kampung dilakukan. Dari kampung asal di tepi-tepi Sungai Lipis, melarat pula ke darat setelah jalanraya mula dibina pemerintah kolonial yang menghubungkan bandar-bandar utama seperti Raub dan Kuala Lipis.

     Ramailah mula berpindah ke tepi lebuh bagi memudahkan perhubungan ke hulu ke hilir. Walaupun tidak lagi mendiami tepi sungai, mereka masih tetap menyebut hulu dan hilir bagi menunjuk arah, sama seperti ketika mendiami tepi sungai.

Jambatan Benta 1971 - Google Image

     Peristiwa bah besar 1971, menyaksikan kerosakan yang amat besar hingga turut menjejaskan rumah-rumah yang berada di tepi lebuh. Banyak rumah-rumah yang bertangga konkrit hanya tinggal tangga sahaja, rumahnya sudah beralih ke tempat lain, terutamanya di sebelah hilir, sekitar Tanggol, Kelebor, Tersan, Bukit Rom hinggalah masuk ke Kuala Atok. Mana-mana kampung di tepi sungai seperti Pulau Kepayang bawa ke hilir sudah ditinggalkan terus hingga kini, tetapi Kampung Petai, Gumpai dan Chenua masih dapat bertahan agak lama.

     Maka dibinalah petempatan banjir bagi menempatkan penduduk yang terjejas di Bukit Pelong, sebelah atas sedikit dari Bukit Keledang.  Mana yang masih kuat semangat tetap bertahan di tempat asal tetapi oleh kerana setiap tahun bah tetap melanda maka dibina lagi petempatan baru di Bukit Tersan dan Bukit Jeruas.

     Bukit Keledang inilah tempat penduduk kampung berlindung ketika bah besar tahun 1926. Dari atas bukit itulah diceritakan orang tua-tua yang masih kanak-kanak ketika itu, naga dari Hulu Pahang berarak menghilir sungai dengan paluan gendang, nampak sisiknya berkilaua-kilauan ke Kuala Pahang untuk berlawan dengan seekor naga lagi di Kuala Pahang, Allahu a'lam.

     Kini tiada lagi orang mendiami di kiri kanan tebing Sungai Lipis seperti dahulu kala bermula dari jambatan Kuala Atok mudik ke jambatan Sega. Di situlah petempatan asal penduduk Sega dan inilah yang digelar Sega Lama, hanya tinggal nama.  Apa yang masih tinggal adalah Sega Tat, Ulu Tat, Jeruas, Petai, Chenua, Bukit Sambau,Ulu Renggol, Bulan, serta beberapa nama tertentu berdasarkan tanda muka bumi (seperti  bukit, sungai, alur, pamah, jamban yang mungkin kini tidak berpenghuni lagi), termasuk Rumah Banjir Bukit Pelong, Bukit Jeruas dan Bukit Tersan yang dibina kemudian.
     
     Maka begitulah secara ringkas sejarah pembukaan Kampung Sega. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan