Ahad, 2 April 2017

Janda Baik Kampung Emak Kon

Terasa ingin menukil beberapa cebisan kenangan tentang kampung emak saya, Janda Baik. Ia terletak begitu terpisah dari kampung-kampung lain di Bentong, di atas banjaran bukit yang tinggi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur mengikut jalan lama. Suatu masa dulu ia saya kenangi sebagai sebuah tempat yang sejuk dan menyamankan dan subur dengan kehijauan alam semula jadi.

Haji Yaseh bin Daun, antara pemimpin awal (berkot hitam) bersama-sama penduduk awal di atas pelantar masjid pertama yang didirikan pada tahun 1933 - Google Image


     Sebenarnya ia baru dibuka pada tahun 1932 dan penduduk-penduduknya adalah penghijrah dari Kampung Benus, Ketari, Chegar Medang dan sekitarnya. Jika hendak tahu ceritanya, bacalah novel "Rimba Harapan" yang dikarang oleh Keris Mas, anak kelahiran Kampung Benus.

     Datuk dan Wan (nenek) saya, bernama Abas dan Sabariah serta anak-anak mereka, di antara 16 keluarga terawal berpindah ke sana.  Kampung asal mereka di Chegar Medang, tapak kampungnya di atas tapak kilang kertas kini.

     Tidak banyak yang saya tahu tentang kampung emak saya. Kami tinggal di daerah lain di mana jalan perhubungannya juga terhad dan ketika itu tidak ramai yang memiliki kereta. Boleh dikatakan semasa kecil saya tidak pernah ke sana.

Sekolah pertama beratap rumbia dibina pada 1939. Emak saya tentunya bersekolah di sini.  - Google Image

     Mungkin di awal 1970an barulah saya berpeluang menjenguk kampung emak saya. Apabila tiba di simpang jalan ke Janda Baik, kami terus mendaki melalui jalan sempit yang berliku-liku. Emak saya kata dulu-dulu orang berjalan kaki sahaja menarik kerbau menaiki bukit-bukau semasa berpindah ke situ. Di kala itu emak saya baru berumur sekitar dua tiga tahun.

     Sangat nyaman dan dingin udaranya ketika itu, tidak panas seperti di bawah. Tidak terasa bahang matahari ketika tengah hari dan petang. Waktu malamnya terasa sejuk hingga ke tulang. Sangat jauh berbeza dengan keadaan di bawah sana.

     Sungai dan alur-alur sungainya mengalirkan air yang sangat jernih dan dingin sekali. Apabila menyelam di celah-celah batu, nampak anak-anak ikan, batu-batu dan pasir dengan jelas sekali, berkilauan-kilauan ditembusi cahaya matahari.

     Wan saya tinggal di sebuah rumah kecil diperbuat daripada kayu hutan, buluh dan beratapkan rumbia sebahagiannya.  Mungkin ada beberapa keping papan dan zink, saya pun tidak berapa ingat. Rumah ayah saudara dan emak-emak saudara saya yang lebih baru mungkin sebahagian besarnya diperbuat dari papan dan beratap zink.  Kerana kedudukan kampung yang berada jauh dari bandar menyukarkan penduduk untuk mendapatkan bahan binaan.

     Terdapat banyak pokok-pokok buluh pelbagai jenis yang tidak pernah saya lihat dan sedari sebelum itu.  Penggunaan buluh di sini masih amat meluas berbanding di bawah sana. Saya amat tertarik melihat bekas habuk rokok daripada buluh dan mereka menghadiahkan saya untuk dibawa balik

     Masih ada rumah yang kelihatan menggunakan buluh sebagai dinding atau lantai. Kami pernah tidur di sebuah rumah kecil comel tidak berbilik berjiranan dengan rumah ayah saudara saya yang lantai dan dinding sepenuhnya diperbuat daripada buluh, manakala atapnya dari rumbia. Ia satu pengalaman yang amat berharga.

     Di kampung saya ia hanya terdapat pada rumah-rumah lama atau yang telah ditinggalkan.
Buluh digunakan untuk membuat lemang, galah untuk menjolok buah dan ampai kain, serkap ayam atau lukah.

      Penduduk awal di sini telah menebang tebas hutan untuk ditanam padi dan sebagainya.  Di tepi-tepi sungai dan kawasan berpaya, mereka mengairi sawah yang sederhana luas dengan begitu cekap sekali. Selain itu mereka juga ada menanam padi bukit atau padi huma.  Emak saya pernah menanam padi huma secara kecil-kecilan semasa saya masih kecil. Mungkin beliau terkenang zamannya di kampung.

     Terdapat perbezaan dalam cara orang membuat tempoyak di atas sana.  Biji durian tidak dibuang tapi hanya akan dibuang apabila hendak menggunakannya untuk dimasak. Cara memasak keladi kemahang yang popular di tempat saya pun berbeza, Di tempat saya dan sekitarnya, pucuk keladi muda dimasak dengan batang-batang lembutnya sekali tetapi di Janda Baik mereka hanya menggunakan pucuk daunnya sahaja. Mereka kehairanan melihat gulai keladi di kampung saya apabila datang bertandang.

     Di sekitar 1980an, saya mula terasa kelainan apabila berkunjung ke situ. Tiada terasa lagi rasa sejuk dan nyaman seperti yang pernah dialami mula-mula dulu. Sanak saudara menyalahkan penerokaan hutan-hutan yang berleluasa oleh orang-orang luar.

     Sedikit demi sedikit orang luar memiliki tanah-tanah di Janda Baik dan suasana  di kampung tidak seperti dahulu lagi. Rumah-rumah banglo didirikan oleh entah siapa.  Katanya orang dari kota yang datang berehat-rehat di hujung-hujung minggu.

     Dulu kalau disebut nama emak saya, pasti mereka mengenalinya. Kini sudah tiada lagi orang-orang tua yang dapat menuturkan satu persatu susur galur keturunan peneroka awal di Janda Baik. Ia tak sesejuk dan senyaman dulu lagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan