Di bahagian ini, kita cuba cari di mana menghilang Laksamana Hang Tuah. Kita juga hendak tahu apa kesudahan Hang Jebat? Umum berpendapat Laksamana Hang Tuah dimakamkan di Tanjung Keling, Melaka. Ada pihak lain mendakwa ianya di Palembang. Ada juga menunjuki makamnya di Bentan, dan berbagai-bagai tempat lagi.
Begitu sukar sekali menjejaki jejak pendekar Melayu ini, adakah ini disengajakan agar tidak mudah dikesani pihak musuh yang mungkin turut mencari keturunannya? Buat masa ini kita cuba melihat sekiranya ada kemungkinan beliau menghilang diri ke Perak.
Menurut beliau,"Hang Tuah berpindah menuju ke utara bersama-sama keluarga isterinya dan keluarga Hang Jebat. Orang-orang Asli dari Gunung Ledang turut sama dan tinggal di situ, dengan sebahagian daripada mereka menetap di kawasan tengah Perak. Hang Tuah bagaimanapun, meneruskan perjalanannya dan menjadi pemimpin Orang Asli di kawasan utara Perak. Kumpulan terakhir rombongan itu akhirnya menetap di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Lambor." kata Dr Andaya yang merupakan professor dalam bidang Sejarah Asia Tenggara, di University of Hawaii, Manoa, Hawaii, USA.
Dalam bukunya itu, Dr Andaya mendedahkan bahawa Orang Asli menganggap Laksamana Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi sebagai pemimpin-pemimpin awal dan penting kepada masyarakat mereka.
Kita rehat dulu ya...
Masjid Laksamana Hang Tuah di Kampung Duyong, Melaka |
Kita kembali kepada kisah pertikaman di antara Laksamana Hang Tuah dengan Hang Jebat. Saya lebih mempercayai satu versi yang dikatakan disimpan waris keturunan Sultan Mahmud. Mereka mengatakan apa yang berlaku merupakan lakonan di antara dua sahabat bagi memperdaya para pengkhianat yang membuat fitnah di istana. Pertikaman ini berlaku di dalam istana disaksikan ramai penduduk Melaka dan dikatakan berlangsung tiga hari dua malam.
Lakonan atau muslihat ini juga melibatkan Sultan Mahmud sendiri dan sahabat-sahabat Laksamana yang lain. Ia juga sebagai helah bagi menarik kehadiran para pengkhianat ke situ untuk dihabisi oleh Hang Kasturi. Tidak hairanlah jika ada versi yang menyebut Hang Kasturi sebagai yang mengamuk, bukan Hang Jebat.
Hang Jebat dengan sedih terpaksa berpisah dengan sahabatnya dalam kegelapan malam. Beliau dianggap telah mati oleh para pembesar istana dan rakyat jelata. Tiada siapa sebenarnya yang menyaksikan 'pengkebumian' Hang Jebat, samaada ditanam, digantung atau dibuang ke laut. Segala-galanya diuruskan sendiri oleh Hang Tuah.
Kaum keluarga Hang Jebat tidak diapa-apakan seperti sepatutnya bagi keturunan penderhaka. Hang Nadim anak Hang Jebat yang dipelihara oleh Hang Tuah sejak kecil tidak diapa-apakan malah menjadi Laksamana yang berjasa di kemudian hari. Sejarah yang disogokkan kepada kita selama ini kelihatan seperti telah dimanipulasi pihak tertentu.
Makam Hang Nadim Kampung Duyong, Melaka |
Berbalik kepada kisah pertikaman tadi, apakah kesudahan nasib Hang Jebat? Beliau dikatakan telah membawa diri ke utara, tidak dipastikan samaada ke Hulu Melaka, Hulu Pahang atau Perak. Laksamana Hang Tuah kemudian menyusul bersama-sama kaum kerabatnya dan pengikut-pengikut setianya, termasuk keluarga Hang Jebat sendiri. Namun mereka berdua pulang semula ke Melaka dan meninggal dunia di bumi Melaka juga.
Banyak pendapat dan tanda tanya tentang di mana sebenarnya Laksamana Hang Tuah dimakamkan. Saya percaya hanya orang tertentu yang diberi pengetahuan dan rahsia ini mungkin tidak diketahui oleh keturunannya sendiri. Apa yang dapat dikongsi oleh seorang waris keturunan Sultan Mahmud Shah adalah, makam Laksamana Hang Tuah tetap berada di bumi Melaka. Makam Hang Jebat pula sebenar berada di tengah-tengah Kota Melaka, sebagai menghargai jasa beliau melindungi Sultan dan kedaulatan Melaka. Beliau tidak pernah dianggap derhaka, hanya 'sejarah' yang mengajar kita itu.
Makam Hang Jebat |
Apa yang saya tulis adalah berdasarkan pemahaman saya setelah menganalisa beberapa perkara. Ia boleh dipertikaikan atau diterima. Ia mungkin berubah seiring dengan maklumat-maklumat baru yang bakal menjelma, insyaAllah.
sayangnya makam ini tidak terjaga oleh kerajaan negeri melaka.
BalasPadamsibuk menjaga tinggalan penjajah, tinggalan bangsa sendiri diabaikan !!!!!!
Ambo berpendapat semua makam hang tuah dan rakan berada di melaka. Ianya berdasarkan naluri dan mimpi ambo yg selalu bermain dalam kepala hamba baik waktu tidur mahupun di kala sedar. Ambo pernah beberapa kali ziarah kubut hang tuah di alam ghaib dan ini menguatkan lagi naluri hamba bahawa makam hang tuah berada di bumi melaka.
BalasPadam